Monday, May 7, 2012

Integriti dalam dunia kewartawanan.. Warkah buat mereka

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia,
Sebelum saya memulakan bicara, terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada pihak tuan yang barangkali akan rasa kurang senang dengan komentar yang akan saya utarakan kepada pihak tuan ini. Namun, sebagai rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab, saya rasa ianya tidak dapat tidak perlu diluahkan mengikut saluran yang betul seperti ini emi kepentingan sejagat apatah lagi dalam usaha kita meneroka ke arah negara maju dan bertamadun.
Perkara yang menjadi subjek utama komentar saya ini adalah berkaitan dengan 'kualiti' kandungan penerbitan akhbar perdana tuan (Utusan Melayu). Akhir-akhir ini, saya melihat kandungan akhbar tuan agak keterlaluan dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada masyarakat. Sebagai akhbar perdana, pihak tuan pastinya sedar bahawa akhbar tuan menjadi tatapan segenap lapisan masyarakat tidak kira di luar bandar mahupun bandar, peringkat umur dan perbezaan fahaman politik. Saya sendiri merupakan salah seorang daripada pembaca akhbar tuan. Justeru, kandungan berita atau laporan yang dinyatakan perlu juga mengambil kira impak dan implikasinya terhadap individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Sebagai rakyat Malaysia, saya juga sedar betapa medan politik merupakan medan 'panas' dan cukup sensitif. Namun, amat mengecewakan sekiranya akhbar perdana dijadikan saluran utama menjadi medan provokasi pihak tertentu tanpa melihat kesan jangka masa panjang terhadap pembentukan masyakat dan negara Malaysia. Sebagai contoh, akhbar tuan yang bertarikh 2 Mei 2012 yang memaparkan berita utama 'front page' bertajuk 'Azmin Nafi skandal Seks' dilihat sebagai penerbitan media yang tidak menjunjung nilai intelek dan amalan integriti.
Saban hari, guru di sekolah berusaha mendidik anak bangsa dengan penerapan nilai-nilai murni, berpegang teguh kepada agama dan mempunyai jati diri yang unggul. Namun, jika saban hari juga mereka didedahkan dengan 'bahan bacaan' dengan paparan-paparan yang tidak bermoral sekalipun bertujuan mendedahkan 'kebenaran' yang masih dalam siasatan saya kira saban hari juga masalah sosial akan terus berleluasa. Di sekolah atau di perpusatakaan sekolah saya kira akhbar tuan memang menjadi bahan bacaan umum berbanding dengan akhbar seperti Harakah, Suara Keadilan dan sebagainya. Oleh kerana itulah, saya berharap agar, akhar tuan melihat isu ini dengan lebih serius dalam menyampaikan maklumat yang beretika kepada umum.
Bersama-samalah kita membentuk sebuah tamadun bangsa Malaysia yang bermoral dan beretika selaras dengan hasrat kerajaan sejak 'dahulu' lagi ingin membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, bermoral dan berakhlak mulia. Bahan media cetak seperti tuan yang saya anggap bacaan segenap lapisan masyarakat jangan terlalu mengutamakan kepentingan 'sendiri' untuk mencapai sesuatu tanpa mengira batas-batas paparan. Matlamat tidak menghalalkan cara.
Sekali lagi, sebelum saya menutup komentar ini saya memohon maaf kepada pihak tuan dan berharap pihak tuan mengambil serius akan isu ini. Kadangkala perubahan angin masyarakat terutamanya golongan mahasiswa berubah kerana jelek dan mual dengan berita yang terlalu berbaur politik semata-mata.
Sekian, terima kasih.
Ikhlas daripada,

emel kepada : pengarang@utusan.com.my
 

No comments:

Post a Comment