Saturday, October 29, 2011

Cerita Cinta Dahulu dan Sekarang



Dengar tajuk pun dah teruja nak tahu apa intipatinya kan? :) Tajuk ini saya dapat dalam buku 'Semurni Kasih Adam Seutuh Cinta Hawa' hasil penulisan indah Zamri Mohamad.  Dalam penulisan beliau ini menceritakan bahawa persoalan cinta ini sudah timbul berabad lamanya lagi.  Tamadun Sumeria dan Babylon menulis epik cinta Gilgamesh pada sekitar tahun 2000 sebelum Masihi.  Tamadun Mesir dengan syair-syair cinta mereka, tertulis di atas lembaran papyrus dan pasu-pasu tanah liat pada sekitar tahun 1300 dan 1000 sebelum Masihi.  Tamadun Cina mencipta lagu-lagu cinta, dan pertama kali didokumentasi antara tahun 1000-700 sebelum Masihi.

Ahli-ahli falsafah  dan pemikir zaman purba, daripada Plato ke Martin Luther, daripada Kierkegard dan Nietzsche, sehingga ke Santayana dan Santre, masing-masing membawa interpretasi tersendiri berkaitan apa itu cinta.

Namun, dari perspektif Islam apabila disoal tentang cinta kita tidak lari daripada membicarakan persoalan iman.  Iman adalah sumber segala perkara sebagaimana disebutkan Hamka, Iman sebagai sumber kekuatan hati, dan sumber keindahan pada penglihatan mata.  Kesempurnaan Islam terdiri dengan panduan yang cukup jelas dan tersusun.  Begitu juga dalam urusan cinta, Islam memberi garis panduan asas bagi memelihara dan mendidik cinta supaya membesar dengan sempurna.  Manusia sentiasa mencari agama bagi mendapatkan jawapan.  Persoalan-persoalan cinta juga ada dalam agama.  Iman menyebabkan hidup mempunyai maksud dan tujuan, sehingga timbul minat bagi mencapai maksud dan tujuan itu.  Iman menimbulkan cita-cita bagi memperoleh ganjaran dan pahala atas pekerjaan yang dilaksanakan.  Tidak beriman bermaksud tidak mempunyai pendirian dan berlaku penyelewengan sewenang-wenangnya kepada manusia.

Dalam CINTA ada satu perkara yang amat bahaya dan patut ditakuti sang pencinta iaitu NAFSU.  Nafsu tidak menyukai keindahan hati, malah membenci kekurangan.  Sekiranya tidak kerana IMAN, nafsu lebih bermaharajalela.  Cinta tanpa iman pasti bertukar kepada cinta nafsu.  Diri mudah berasa serba kekurangan.  Kekurangan dalam diri pasangan dilihat sebagai kehinaan.  Kemudian, diri mencerca kembali kekurangan itu dan bukan belajar daripadanya.

Cinta berpayungkan iman meletakkan manusia supaya bertanggungjawab mengiringi rasa hati, kerana ia akan dipertanggungjawabkan kelak.  Agama dalam konteks cinta membawa tiga sifat yang timbul  bersama apabila diserap dalam kehidupan iaitu:
  • Perasaan malu
  • Amanah dalam membina perhubungan
  • Sentiasa benar dalam menguruskan rasa cinta
Iman menjadi tiang yang kukuh untuk cinta berdiri atas pendirian, dan tidak goyah dengan sikap songsang manusia yang cenderung mempermainkannya

No comments:

Post a Comment