Friday, June 1, 2012

"Drama" bukan arahan Kita

"Drama"

Istilah 'drama' berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud 'tindakan' dan mengikut bahasa Yunani Purba pula ianya membawa maksud 'membuat'.  
Terdapat pelbagai genre drama.  Drama komedi, cinta, muzikal, romantik komedi, bersiri dan sebagainya.  

Bentuk-bentuk drama secara akademik dan ilmiah mempunyai beberapa jenis yang utama seperti (Neves 1998; Lavery 2003; Person 2005): 

1. The Serial
Drama bersiri yang mempunyai naratif dan penceritaan yang bersambung.  Selalunya dihasilkan sebanyak 13 episod.

2. The Series

Setiap episod memaparkan cerita yang berbeza.  Namun, masih mengekalkan karakter yang sama yang melakonkan watak pada setiap episod.

3. Soap Opera/ Telenovela/Sinetron

Drama bersiri yang bersambung dengan plot dan cerita yang sarat dengan konflik kemasyarakatan.  Drama dalam jenis ini sering diwajahkan dengan melankolik dan mempunyai episod yang agak panjang.

4. Telefilem (The One-off Drama)

Bentuk telefilem merupakan tayangan drama yang mempunyai satu episod sahaja.  Selalunya ditayangkan dalam durasi masa dua jam menyamai bentuk filem tetapi menggunakan medium televisyen.


Oh ya, kenapa saya pula yang mahu bercerita mengenai drama, sedangkan saya bukan penuntut dalam bidang berkenaan.  Jangan berhenti membaca nukilan ini kerana saya sebenarnya ingin menceritakan dan mengkhabarkan kepada anda bahawa sesungguhnya kehidupan kita di atas muka bumi ini Allah yang maha luas ini juga merupakan sebuah drama.  Drama yang jenis mana? Drama realiti bersirikah, sinetronkah atau yang bagaimana?  Saya tidak mahu mengklasifikasikannya mengikut kerahan idea saya semata-mata.  Lebih baik anda yang menentukannya sendiri.  Mungkin boleh merujuk kepada jenis-jenis drama yang telah saya nyatakan sebelum ini.

"Kehidupan ini adalah sebuah drama"

Ayuh kita amati bersama-sama, betapa benar kehidupan yang kita lalui ini adalah drama.  Pelbagai cerita dalam drama hidup kita.  Berbeza-beza dan barangkali juga ada yang ceritanya hampir sama.  Drama cinta yang sedih dan penuh keperitan.  Cerita hidup ibarat 'Cinderella' bahkan ada ceritanya persis cerita 'Bawang Merah Bawang Putih'.  Semuanya punya ceritera hidup masing-masing.  Dan ciritera itulah sebenarnya drama kita, tapi bukan kita pengarahnya.  
Habis siapa? Siapa lagi, tentulah DIA Yang Maha Pencipta Sekalian Alam.  Allah s.w.t.


Kenapa kehidupan ini adalah drama?


Kerana segala plot cerita hidup kita telah ditentukan oleh-Nya sedari kita dihembuskan ruh di dalam kandungan ibu.  Jodoh, Ajal, Rezeki dan sebagainya telah ditentukan Allah untuk hamba-hamba-Nya.  Di dunia, kita melakonkan watak masing-masing berdasarkan tahap iman dan taqwa kita kepada-Nya.  Seandainya tahap keimanan dan ketaqwaan kita menjunjung sepenuh-penuhnya Syariatullah dan Sunnatullah maka ceritera riwayat hidup kita Insya-Allah dipenuhi dengan kerahmatan dan keredhaan.


Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):


"Sesungguhnya setipa orang di kalangan kamu dihimpunkan dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menajdi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia.  Demi Allah Yang Tiada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal degan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka.  Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kita lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga." -muttafaqun 'alaih-

diambil daripada laman: http://iniceritakita.wordpress.com

Berdasarkan hadis di atas, terbukti bahawa segala peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini yakni sama ada berlaku ke atas diri kita, keluarga kita atau sesiapa sahaja, ia bukanlah berlaku secara kebetulan tetapi merupakan sebuah takdir ketentuan Tuhan, Allah s.w.t.

Empat perkara perihal hidup kita sudah ditetapkan di Luh Al-Mahfuz.  Perihal rezeki, ajal, amalan dan pengakhiran hidup kita, segala-galanya telah ditetapkan.

Penulis laman iniceritakita.wordpress.com dalam coretan beliau yang bertajuk "Antara Takdir dan Tarbiyah" ada menyatakan kekeliruannya.  "Kalau Allah dah tetapkan kita amsuk yurga atau enraka, tak gunalah kita beramal kan? sebab Allah dah tentukan semuanya."  Woot! Sabar.  Kita yang dikurniakan sedikit ilmu ini pastinya dapat menggunakan akal dengan baik bukan?  Kita mengetahui betapa Allah tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya melainkan kita sendiri yang menzalimi diri kita.

Saya 'curi' sedikit perkongsian beliau.  Moga dihalalkan.

Takdir terbahagi kepada dua, iaitu:

  1. Allah tetapkan dengan kehendak-Nya. (rezeki, ajal, jodoh)
  2. Allah tetapkan dengan ilmu-Nya Yang Maha Luas (amalan, akhir hidup)
Segala-galanya yang kita peroleh di dunia ini adalah ketetapan takdir Allah untuk kita.  Kita ditaja untuk meneruskan pengajian ke oversea, kita makan dan minum apa pada hari ini, siapa yang akan kita kahwini nanti dan sebagainya sudahpun ditentukan.  Jadi benarlah, kehidupan ini adalah sebuah drama!  Kerana kita melakonkan watak kita dengan arahan (keizinan) Allah s.w.t.

Tetapi, ada dua perkara yang Allah tetapkan bukan dengan kehendak-Nya iaitu amalan kita di dunia untuk bekalan di akhirat kelak yakni destinasi pengakhiran riwayat yang abadi iaitu syurga dan neraka.  Contohnya, jika kita tak study pun walaupun exam dah dekat, itu bukan kehendak Allah.  Tetapi pilihan kita.    Kita melakukan maksiat, juga bukan kehendak Allah.  Tetapi pilihan kita.  Pilihan yang dibuat berdasarkan dorongan oleh dua perkara sama ada ianya didorong oleh hawa nafsu ataupun iman dan taqwa.  Maka, Alalh tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya.
"Sesungguhnya, Dia telah mengilhamkan kepada kita jalan kejahatan dan juga jalan ketaqwaan, ettapi kita yang memilihnya." (As-syams 91:8 ~ 10)


Jadi sekarang, sudah nampakkah anda betapa sesungguhnya kehidupan yang kita lalui ini sama ada dengan penuh duga dan ranjau, suka dan duka yang silih berganti adalah sebuah drama yang berpanjangan.  Para pelakon tidak hanya perlu akur dengan arahan pengarah sebaliknya redha dengan ketetapan-Nya tepapi pelkon juga perlu sentiasa berfikir untuk meneruskan karier untuk jangka masa yang lebih panjang.  Perlu berfikir dan bermuhasabah sama ada untuk popular dan bahagia sementara sahaja atau untuk selama-lamanya.  Tidak semua plot cerita didokong oleh kehendak Pengarah untuk meruntuhkan kredibiliti pelakonnya tetapi keimanan dan ketaqwaan yang tersemat dalam diri pelakon turut menjadi nadi kejayaan drama kehidupan ini.  Bijak membuat pilihan bukan hanya slogan untuk 'pengguna' tetapi juga slogan untuk pelakon dunia.  Kita semua!


Setakat ini dahulu dari saya, terima kasih buat anda yang sudi melapangkan masa.  nantikan drama yang akan saya nukilkan di sini nanti sebagai kesinambungan entry "Drama" ini.  Insya-Allah, saya akan menukilkan kisah realiti barangkali cerita sendiri atau dari kisah rakan dan taulan yang saya kasihi. 


Salah Ukhwah! (^_^)

No comments:

Post a Comment